Sunday, 15 July 2012

NOSTALGIA RAMADHAN


Alunan muzik tradisional yang sayup-sayup kedengaran sebaik memasuki ruang lobi sudah cukup untuk mengembalikan nostalgia kampung halaman. Kelibat bot nelayan dan skuter yang menghiasi ruang makan menambahkan rindu anak desa kepada kehidupan santai di kampung.
Setiap kali Ramadan tiba, perasaan untuk pulang ke desa membuak-buak di dada. Alangkah indahnya jika dapat berbuka puasa bersama ayahanda dan ibunda di kampung. Pada waktu beginilah, masakan ibu dirindui anak yang sibuk mengejar kemewahan di kota.
Berbekalkan kesedaran inilah, Hotel Grand BlueWave yang bertempat di Shah Alam mengambil inisiatif untuk mengadakan bufet Ramadan yang menghidangkan aneka juadah dari Utara, Selatan dan Pantai Timur Malaysia di bawah satu bumbung, berkonsepkan ala Mini Malaysia.
Pengurus Hotel Grand BlueWave, Tuan Haji Mohd Ghazali Sayed Ibrahim berkata terdapat sedikit kelainan yang ingin mereka tonjolkan menerusi konsep Mini Malaysia yang diketengahkan hotel itu pada tahun ini.
"Pada tahun ini kelainan yang kami buat ialah menu kami ikut tema. Contohnya, (mengikut tema) Utara kami akan buat kombinasi makanan Pulau Pinang; kami utamakan Nasi Kandar, kemudian, contohnya, Laksa Kedah dan Laksa Perlis, dan kami juga akan ambil satu masakan dari Perak, contohnya Rendang Tok Perak," kata beliau.

Antara masakan lain yang disediakan oleh Chef Masakan Melayu hotel itu iaitu Chef Rashid dan pasukannya ialah Nasi Beriyani Gam Batu Pahat, Mee Rebus Melaka dan Laksa Johor di samping masakan 'wajib' seperti lemang buluh dan ketupat palas. Selain itu, lauk-pauk istimewa seperti Ikan Tenggiri Opah dan Udang Goreng Daun Limau Kasturi turut menjadi sajian.
Seperti biasa, sajian pemanis mulut juga akan dihidangkan di bufet Ramadan itu. Antara pemanis mulut yang disajikan ialah variasi kuih Melayu, Sago Gula Melaka, Krim Karemel dan pelbagai buah-buahan tempatan. Antara minuman yang disediakan ialah Jus Tembikai, Longan Ais, Susu Kacang Soya, Sirap Bandung serta Kordial Limau dan Laici.
Walaupun masakan dari Semenanjung Malaysia lebih diutamakan, pihak hotel tetap menyajikan hidangan dari Barat seperti Lasagna Bakar dan Pizza Makanan Laut bersama Sayuran serta hidangan dari Jepun seperti Tempura, Tepanyaki Ayam dan Sushi. Selain itu, hidangan dari Cina seperti Dim Sum dan Nasi Ayam Hainan juga disediakan.
Pakej ditawarkan pada harga RM89.00++ seorang dewasa dan RM50++ seorang kanak-kanak (empat hingga 11 tahun) dan warga emas (55 tahun ke atas). Selain itu, terdapat Pakej 'Ahlan Ya Ramadan' pada kadar RM70.00++ seorang bagi hari pertama hingga 10 Ramadan atau tempahan 50 orang ke atas. Pakej hujung minggu (Sabtu, Ahad dan cuti umum) pula menawarkan harga RM100.00++ untuk seorang dewasa beserta seorang kanak-kanak.
Turut disediakan ruang bersila (terhad), sesi bacaan Al-Quran, pameran tulisan khat dan kemudahan surau beserta imam. Untuk pertanyaan dan tempahan, hubungi 03-5511 8811 atau e-melkan ke sales@bluewavehotels.com

MANFAAT LAMAN SOSIAL


Setiap Muslim yang beriman akan sentiasa menjaga akhlak dalam setiap tingkah laku tidak kira masa atau di mana mereka berada, termasuk ketika bersosial secara maya di laman sosial yang kini menjadi kegilaan masyarakat sejagat kerana kemampuan berinteraksi yang tidak terbatas.
Keadaan dunia tanpa sempadan ini ada kala menyebabkan masyarakat leka dan menolak ajaran agama yang menekankan akhlak mulia dalam perhubungan sesama manusia. Ledakan laman sosial menyumbang banyak peristiwa positif mahupun negatif.
Setiap perkara baik tidak menjadi masalah, perkara negatif ditimbulkan mewujudkan pelbagai permasalahan akhirnya merosakkan diri sendiri. Justeru, pengawalan akhlak yang sempurna tidak kira di mana saja berada perlu diambil kira.
Sedar atau tidak, penyalahgunaan laman sosial contohnya di facebook dan twitter boleh mengundang perkara negatif seperti pertelingkahan dan pergaduhan kerana sesetengah pengguna tidak berakhlak tanpa rasa bersalah sanggup menjatuhkan air muka orang lain, memfitnah, memuatkan pernyataan berbentuk hasutan atau provokasi.
Memang tidak dinafikan ada sesetengah pengguna tidak memandang serius perkara ini. Walaupun ia nampak ringan dan dianggap 'gurauan', tetapi ia mampu memberi impak lebih besar selain mengundang kemurkaan Allah SWT.
Beretika dan tidak melebihkan emosi ketika melayari laman sosial mampu mengelak perkara tidak baik. Teknologi canggih ini sebaliknya boleh dimanfaatkan untuk tujuan murni seperti berdakwah, menyebarkan maklumat serta mengeratkan silaturahim.
Nafsu tidak dapat dikawal ketika perasaan marah dan tertekan. Bertenang dan berfikir secara mendalam sebelum melakukan sesuatu perkara dapat mengawal keadaan. Perasaan menyesal biasanya akan hadir selepas perasaan marah reda.
Pepatah Melayu, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.' Oleh itu, hormati hak dan peribadi orang lain. Rahsia yang diamanahkan jangan dijadikan isu untuk menarik perhatian kerana ia boleh mencetuskan kekecewaan serta memutuskan ikatan silaturahim.

Laman sosial boleh menjadi medium dakwah yang luas apabila digunakan secara tertib dan betul. Untuk berdakwah, peribadi dan akhlak ditunjukkan pemilik akaun akan dihitung terlebih dulu. Justeru, pemilik akaun perlu mengindahkan penulisan untuk menarik minat rakan maya ke arah kebaikan.
Walaupun hanya sepotong hadis ia mampu disampaikan dan dilihat ramai pelayar di laman sosial berbanding kuliah atau ceramah di dewan walaupun menempatkan beratus orang.
Penyebaran dakwah secara cacian dan kutukan untuk menunjukkan kepandaian atau kealiman dalam sesuatu perkara boleh menjauhkan sesama sendiri. Bukankah agama Islam lebih menginginkan keharmonian dan kedamaian dalam menyebarkan Islam?
Sebarang maklumat yang disebarkan perlu diketahui hukum dan sumbernya yang sahih. Jika hadis atau petikan dari kitab, perlu yang bersanad, asli dan sahih sumbernya. Ini untuk mengelak kekeliruan orang awam jika membuat penafsiran sendiri.
Mudah percaya dan mendedahkan rahsia diri kepada rakan maya, terutama yang tidak dikenali boleh mengundang padah dan bahaya. Menyerahkan maklumat diri seperti gambar, alamat tempat tinggal, pekerjaan akan mengundang mudarat.
Banyak kes sumbang terjadi berpunca daripada penyalahgunaan maklumat maka berhati-hatilah dan pandai-pandailah membawa diri di alam maya.
Kesimpulannya, semua bergantung kepada kesedaran diri sama ada ingin melayari laman sosial dengan akhlak baik atau mengikut nafsu dan emosi semata-mata. Ingatlah Allah Maha Tahu apa yang diperbuat hamba-Nya.

ANTARA TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH MAHASISWA


"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangungjawab dan amanah.
Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.
Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13
Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a)     Keimanan
b)     Keikhlasan
c)     Semangat
d)     Usaha
Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangatialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.
Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu
Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.
Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.
Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.
Keutamaan Mahasiswa
Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.
Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.
Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.
Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.
Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".
Angin perubahan
Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.

HORMATTILAH GURU KITA


Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.
Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu."(An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:
" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)
Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.
Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diriterhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.
Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan"awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.
Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.
Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

MARILAH BERSANGKA BAIK ;)


Dalam seharian kita hidup dan Alhamdulillah sehingga hari ini kita masih bernyawa, hampir seluruh masa kita akan bersangka. Ketika hendak pergi ke tempat kerja, kita akan bersangka sama ada jalan sesak atau tidak. Ketika membeli makanan di kedai, kita akan bersangka sama ada sedap atau tidak dan sebagainya.
Bersangka terbahagi kepada dua, iaitu buruk dan baik. Sudah semestinya semua tahu apa itu buruk dan apa itu baik. Akan tetapi, dalam banyak sangkaan kita itu, berapa banyakkah sangkaan baik dibandingkan dengan sangkaan buruk?
Situasi 1:
Ali membeli gula-gula lalu dibawa ke sekolah. Kemudian Abu melihat bungkusan gula-gula itu lalu terdetik di hatinya, 'Ali ni nak berlagak bawak gula-gula ke?' atau 'Ish, mana boleh makan gula-gula di sekolah'.
Situasi 2:
Ali membeli gula-gula lalu dibawa ke sekolah. Kemudian Abu melihat bungkusan gula-gula itu lalu terdetik di hatinya, 'Eh, Ali membawa gula itu kenapa ye? Mungkin kerana mahu memberi kepada rakan-rakan' atau 'Alhamdulillah, Ali membawa gula itu kerana cikgu memesannya membawa untuk diberikan hadiah kelak tatkala quiz dilakukan'.
Yang mana satu situasi kita? Sejujurnya bagi diri saya, posisi saya di Situasi 1, kerana saya juga kadangkala terdetik sangkaan buruk di fikiran ini. Akan tetapi, saya tahu, ramai lagi yang memilih Situasi 2 kerana itulah yang sebaiknya. Bersangka baik.

Memang sukar untuk bersangka baik, sememangnya satu cabaran untuk kita. Tetapi terdapat banyak keburukan dalam bersangka buruk. Contohnya, ia boleh membuahkan perasaan hasad dengki dan sebagainya. Malah, ia akan menjadikan diri kita sendiri lebih buruk daripada orang lain.
Apakah pangkat atau darjat kita sehingga mudah untuk menilai yang buruk bagi orang itu sedangkan zahirnya mereka melakukan perkara baik? Bukanlah hak kita untuk bersangka buruk dan memburukkan seseorang itu dengan hanya melihat dari segi fizikalnya sahaja. Hak untuk menilai seseorang itu hanya terletak pada Allah. Hanya Allah yang berhak menilai seseorang kerana Dialah yang mengetahui setiap hambanya dari dalam sehingga luar dan apa yang kita tidak nampak. Hak kita hanya bersangka baik kerana itu yang terbaik.
Oleh itu, saya juga sentiasa menasihati diri sendiri dan para pembaca supaya bersangka baik dalam apa jua tindakan. Jangan terlalu mudah kita menilai seseorang itu jika seseorang itu hanya melakukan satu perkara yang kurang enak pada pandangan kita tetapi tidak menjejaskan orang lain.
Tiada hamba yang sempurna dan kita perlu sentiasa mencari seribu satu jalan untuk membaiki diri kita dari masa ke masa. Apabila kita nampak seseorang itu melakukan sesuatu perkara, jangan mudah bersangka buruk. Bersangka baiklah kerana ianya baik untuk diri, hati dan perbuatan kita.
Jika seseorang itu melakukan perkara buruk, ambil pengajaran dan ingatkan diri kita supaya membaiki diri menjadi lebih baik dan tidak melakukan perkara yang tidak elok. Bersangka baik, hati baik, diri baik, semuanya baik. Insya-Allah :)
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. "
(Surah al-Hujuraat, ayat 12)

CARA BERINERAKSI DENGAN NON-MUSLIM


Al-Quran merupakan kalamullah yang paling Agung. Diturunkan kepada Nabi junjungan kita, Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril a.s pada bulan mulia, iaitu bulan Ramadhan. Mukjizat Rasulullah yang paling agung masih lagi kekal sehingga hari kiamat tanpa ada sedikitpun yang mampu mengubahnya. Itulah janji Allah SWT.
FirmanNya yang bermaksud :-
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri""
(Surah Al-Israa, ayat 88)
Terlalu sempurna meliputi pelbagai aspek kehidupan samada kepada umat Islam itu sendiri dan seluruh manusia sejagat. Terlalu banyak ilmu yang tersimpan didalamnya yang mana ianya sesuai dengan fitrah manusia. Merangkumi satu sistem kehidupan yang lengkap antaranya menyentuh hubungan muamalat di kalangan umat Islam dengan yang mereka menafikan kebesaran dan keagungan Allah SWT (non-muslim). 
Hubungan Muslim dengan Ahli Kitab
 Al-Qur'an telah pun mengatur hubungan antara Muslim dengan non-Muslim :
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal"
(Surah Al-Hujurat, ayat 13)
FirmanNya lagi ;-
"Dan sesungguhnya yang paling dekat persabahatan dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya kami ini orang Nasrani". Yang demikian itu disebabkan karena di antara mereka terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib, serta mereka tidak menyombongkan diri."
(Surah Al-Maidah, ayat 82)
Jelaslah ayat di atas tidak ada halangan untuk Muslim berkawan dengan bukan Islam, bahkan Allah ciptakan manusia berpuak-puak untuk saling kenal mengenal. Muslim dan bukan Islam boleh bekerjasama dalam membangun negara dan memajukan bidang pendidikan serta semua aktiviti.

Larangan Melantik Bukan Islam menjadi Pemimpin
Hanya ada larangan daripada Allah dalam memilih pemimpin di kalangan bukan Islam dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan agama seperti tersebut dalam Al-Qur'an :
 Al-Qur'an telah pun mengatur hubungan antara Muslim dengan non-Muslim :
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin mu; sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim "
(Surah Al-Maidah, ayat 51)

Pastinya setiap peraturan yang ditentukan oleh Allah SWT itu padanya seribu hikmah yang perlu untuk diselongkarkan. Terlalu banyak ayat-ayat Al-Quran yang menggalakkan agar umat Islam perlunya banyakkan berfikir. Persoalannya, mengapa umat Islam tidak boleh mengambil orang bukan Islam sebagai pemimpin untuk membuat keputusan dalam hal yang berkaitan dengan agama? 
1. Ahli Kitab menginginkan kamu menjadi kafir seperti mereka.
"Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir seperti mereka yang telah kafir, lalu kamu menjadi kafir seperti mereka. Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolongmu, hingga mereka menerima Islam ..."
(Surah An-Nisa, ayat 89)
2. Ahli Kitab ingin menyesatkan orang Islam
"Segolongan dari Ahli Kitab ingin menyesatkan kamu, padahal mereka tidak menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka tidak menyedarinya "
(Surah Al-Imran, ayat 69)
3. Ahli Kitab Ingkar kepada ayat Allah
"Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui kebenarannya"
(Surah Al-Imran, ayat 70)
4. Ahli kitab tidak pegang janji dengan baik
"Dan Janganlah kamu percaya melainkan kepada orang yang mengikuti agamamu. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk ialah petunjuk Allah, dan janganlah kamu percaya bahawa akan diberikan kepada seseorang seperti apa yang diberikan kepadamu, dan jangan pula kamu percaya bahwa mereka akan mengalahkan hujahmu di sisi Tuhanmu...."
(Surah Al-Imran, ayat 73)
5. Ahli kitab dianggap tidak beragama
"Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikit pun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil dan Al-Qur'an yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu". Sesungguhnya apa yang diturunkan kepada Muhammad dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kebanyakan mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang yang kafir itu"
(Surah Al-Maidah, ayat 68)



Panduan berhubungan dengan Bukan Islam
Umat islam dalam berkawan dengan bukan Islam telah diberi panduan oleh Allah melalui ayat-ayat Al-Qur'an antara lain:
1. Muslim wajib berdakwah kepada bukan Islam
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung"
(Surah Al-Imran, ayat 104)
2. Menyeru bukan Islam kepada Islam dengan Lemah lembut
Dalam kita menyeru bukan Islam pun Al-Qur'an telah mengaturnya agar menyeru dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut
"Serulah manusia kepada jalan Allah dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk"
(Surah An-Nahlu ayat 125)
3. Mencari Persamaan dengan Ahli Kitab
"Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah berpegang kepada suatu kalimat yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak disembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak pula sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri kepada Allah"
(Surah Al-Imran, ayat 64)
4. Berdebat dengan ahli Kitab dengan cara yang terbaik
Bahkan kalau berdebat dengan bukan Islam pun maka dituntut untuk berdebat dengan cara yang terbaik.
"Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan hanya kepada-Nya kami berserah diri"
(Surah Al-Ankabut, ayat 46)
5. Jangan mencerca sembahan ahli Kitab
Umat islam tidak dibenarkan untuk menghina sembahan agama lain, boleh jadi disebabkan ketidak fahaman mereka akan mencerca Allah SWT.
"Dan janganlah kamu mencerca sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka akan mencerca Allah dengan melampau tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan"
(Surah Al-an'am, ayat 108)
6. Tidak ada paksaan untuk menerima Islam
Islam tidak benarkan umatnya memaksa bukan Islam untuk menerima Islam dengan alasan apapun. Kalau ada muslim yang melakukan pemaksaan maknanya mereka tidak megikut tuntutan Al-Qur'an.
"Tidak ada paksaan untuk menerima Islam; sesungguhnya telah jelas kebenaran daripada kesesatan. Kerana itu barangsiapa ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"
(Surah Al-Baqarah ayat 256)

SEMESTER 2

Assalamualaikum

Terasa hiba pula saya di sini di saat-saat mengharungi akhir sem dua. wah!! keseronokan juga menjelma dalam diri tatkala saya berjaya mengharungi semester ini dengan sabar

semoga apa yang diimpikan akan tercapai

wallahu a'lam