Wednesday, 9 May 2012

AMALAN CUKUR JAMBUL









AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena  menyambut 
kehadiran orang baru dalam keluarga. 
Berpandukan syariat Islam, istilah cukur jambul  sebenarnya  tidak wujud 
dan selari dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga 
dipercayai berasal daripada masyarakat India yang beragama Hindu.
Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda,  “Tiap-tiap anak  itu tergadai
dengan akikahnya yang disembelih untuk dia  ketika hari ketujuh dan 
dicukur, lalu diberi nama.” (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) 
Berdasarkan kepada hadis ini,  ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w.
menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan 
akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging  akikah tersebut diagihagihkan kepada golongan fakir miskin. 
Mengikut sunnah, apa yang dilakukan  oleh Baginda kepada cucunya, Hasan 
dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan 
nama dan mencukur rambut  mereka  berdua. Rambut  tersebut ditimbang 
dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada 
fakir miskin. 
Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi 
menggantikan perak. Bahkan, mengikut Islam juga, pada hari ketujuh akan 
dilakukan tahnik. 
Amalan tahnik ialah memasukkan sesuatu yang manis seperti manisan madu 
lebah atau buah tamar yang dihancurkan dan memalitkannya ke lelangit bayi.
Sebaliknya, cecair manis hanya disapukan ke bibir bayi dan bukannya ke 
dalam mulut sebagaimana yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w.
Islam  menggalakkan amalan mencukur rambut bayi sehingga  botak


supaya segala kekotoran yang keluar daripada rahim dapat dibuang dan
membolehkan rambut baru tumbuh dengan sihat.  
Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak  mencukur rambut anak-anak 
hingga botak sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul sebagai adat dan 
tradisi yang telah dilakukan sejak turun temurun. Tambah mengelirukan, 
rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa. 
Memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan
ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul 
adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir 
umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.
Selain amalan-amalan di atas yang  bertentangan dengan syariat agama, 
kesilapan yang turut dilakukan ibu bapa hari ini ialah akikah atau cukur
rambut dilakukan setelah bayi berusia beberapa bulan. Majlis tersebut 
turut disertai dengan adat berendoi di mana buaian dihias dengan bungabungaan dan perhiasan lain.  
Upacara cukur rambut  tidak perlu disertakan dengan marhaban atau
berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut  sahaja. Melainkan jika ia 
diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.  
Masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama 
ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau 
dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan
kepercayaan dan tradisi agama lain.
Kebanyakan  amalan yang dijadikan  adat bagi orang Melayu dipercayai 
berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan 
di negara ini. Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke 
Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.

1 comment: