ALHAMDULILLAH
AKHIRNYA SAYA DAPAT MENYIAPKAN BLOG INI SEBAGAI SATU ASSIGNMENT PENTING DALAM SUBJEK APLIKASI KOMPUTER.
SAYA BERASA SANGAT SERONOK KERANA SECARA TIDAK LANGSUNG SAYA DAPAT BELAJAR CARA-CARA MEMBUAT BLOG DAN INSYAALLAH INI SAYA APLIKASIKAN DALAM KEHIDUPAN SEBAGAI PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT.
DI KESEMPATAN INI SAYA INGIN MENGUCAPKAN RIBUAN TERIMA KASIH KEPADA PUAN NORAZILA SELAKU PENSYARAH SUBJEK INI KERANA BERTUNGKUS LUMUS MENGAJAR SAYA TANPA JEMU.
JASAMU AMAT SAYA KENANG
SEKIAN TERIMA KASIH
+Jejari Yang Halus+
Sunday, 15 July 2012
SEMANGAT KEJIRANAN
Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
KHASIAT MADU UNTUK BAYI
Khasiat madu boleh dikatakan sesuai untuk semua. Sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda dan tahap kesihatan yang berlainan. Madu boleh diambil untuk semua lapisan umur – kecuali satu, iaitu bayi yg berumur 6 bulan dan ke bawah.
Menurut kajian perubatan, walaupun madu adalah bahan yang neutral pada umumnya, ia mungkin boleh menyebabkan kesan alah atau alergi kepada bayi. Ini kerana, madu (termasuk madu yang telah ditapis dan dibersihkan) masih mengandungi peratusan kecil madu debunga (‘bee pollen’) yang boleh menyebabkan reaksi alergi kepada sesetengah orang.
Kepada bayi yang berusia kurang dari 6 bulan, ini boleh mendatangkan bahaya kerana sistem imun golongan bayi ini masih belum sempurna. Oleh itu, untuk langkah keselamatan, kita tidak digalakkan memberi madu kepada bayi yang berusia 6 bulan ke bawah. Anda mungkin juga dapat lihat amaran sebegini pada label produk madu.
5 MINUMAN BERKHASIAT MADU
Sebenarnya meminum madu dengan air kosong adalah cara yang terbaik untuk menikmati khasiat madu.
Berikut adalah senarai 5 minuman berkhasiat campuran bersama madu :
- Madu dan halia
- Campuran madu dengan halia berkhasiat untuk menghilangkan batuk dan mengeluarkan angin. Minuman ini berkesan untuk memulihkan pelbagai penyakit berkaitan kerongkong dan pernafasan (seperti lelah).
- Madu dan kayu manis
- Campuran madu dengan kayu manis berkesan menyembuhkan penyakit-penyakit yang agak serius seperti sakit sendi, kolestrol darah yang tinggi dan mencegah sakit jantung.
- Mungkin antara khasiat yang paling menarik dari minuman ini adalah ia dapat menguatkan tenaga batin.
- Cara menyediakan adalah dengan mencampurkan satu bahagian madu dengan satu bahagian serbuk kayu manis.
- Madu dan jintan hitam (Habbatussauda)
- Madu dan Habbatussauda (jintan hitam) kedua-duanya merupakan peyembuh kepada segala macam penyakit. Campuran minuman ini sudah tentu mempunyai seribu satu khasiat yang terlalu panjang untuk disenaraikan di sini.
- Madu dan limau nipis
- Campuran madu dengan limau boleh melegakan batuk dan suara serak. Minuman ini juga membantu penghadaman.
- Madu dan cuka (epal)
- Campuran madu dengan cuka. Cuka epal kerap dicadangkan untuk campuran ini. Bahan aktif dalam minuman ini adalah asid dalam cuka.
- Asid dalam cuka dikatakan boleh meyeimbangkan alkali dalam darah. Khasiatnya adalah dalam mencegah selesema, sinus dan pelbagai penyakit biasa.
Anda dapat lihat ramuan minuman di atas hanya menggunakan bahan-bahan dapur biasa yang mudah didapati. Namun perlu diingatkan, minumnya bukan sekali dua, tetapi diamalkan sepanjang masa untuk merasai kesannya.
TEKNOLOGI MAKLUMAT
Teknologi Maklumat (Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk pemprosesan data.
Ruang lingkup tajuknya sangat luas: berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah: penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Ruang lingkup tajuknya sangat luas: berkenaan segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat. Secara tepat dan mudah: penggunaan komputer dan perisian untuk mengubah, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat, dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
JAUH TAPI DEKAT
Jauh..
Terasa satu sisi itu makin jauh
Tanpa kalam pamitan
Tanpa ulas bicara
Hanyut dalam lembah yang makin jauh
Tentang jauh
Aku belajar
Aku mengerti
Aku menerima
Kadang-kadang manusia takkan mampu
Untuk selamanya dekat
Adakalanya kita perlu jauh
Untuk kita mengenal erti kehidupan
Dari awan
Kita belajar tentang jauh
Dari lautan dalam
Kita belajar tentang jauh
Dari lembah yang mengjunam
Kita belajar tentang jauh
Dari fatamorgana yang tak mampu diraih
Kita mengenal erti jauh
Dari angin yang menyapa lalu hilang
Kita mengenal erti jauh
Betapa jauh itu satu fitrah
Tak kan ada yang selamanya dekat dan kekal
Melainkan AJAL yang selalu mendekat tanpa petanda
Tentang jauh
Kita mampu untuk menjadi lebih dekat
Kita mampu untuk menjadi lebih hampir
Dan kita mampu mengusir makna jauh
Bila dekatnya kita dengan PENCIPTA
Bila tiada ruang antara kita dan DIA
Walau kamu jauh
Akan sentiasa merasa dekat
Walau tidak diperlihat
Akan sentiasa merasa ada
Bunga pasti kan layu
Laut pasti bergelora
Musim pasti bertukar ganti
Tapi DIA kan tetap di sisi
Pandanglah sisi jauh
Untuk kita terus lebih dekat
Maknakanlah jauh
Untuk kita jadi manusia yang punya hati
Jauhnya kita dengan makhluk
Tak menghasilkan natijah yang pasti
Tapi bimbanglah andai jauh dengan PENCIPTA
Memperhalusi cinta dengan Allah
Mencontohi peribadi Rasulullah
Mengaplikasi dalam kehidupan sebagai 'abdillah..
"Jika hamba-hambaKu bertanya padamu tentang Aku, sesungguhnya Aku sentiasa dekat..."
(Surah al-Baqarah, ayat 186)
BISNES OH BISNES
Onak dan duri yang pertama yang mendasari serta merintangi bagi mereka yang ingin memulakan bisnes sendiri adalah kekangan daripada pihak keluarga sendiri. Realitinya, majoriti mentaliti masyarakat kita masih beranggapan anak-anak mereka 'sudah mendapat' kerja apabila mereka 'makan gaji'.
Bagi mereka yang bercita-cita menjadi seorang usahawan itu bukanlah merupakan pekerjaan yang diiktiraf. Apatah lagi pekerjaan yang tidak mempunyai EPF, SOCSO dan lain-lain. Kebiasaannya mereka akan menjadi malu serta terbitlah gejala 'inferiority complex' apabila anak mereka tidak makan gaji disebabkan bagi mereka, orang yang tidak makan gaji serupa dengan dengan orang yang belum mendapat pekerjaan.
Itu belum pula bagi mereka yang ingin mencari calon menantu. Keutamaan tanpa ragu diserahkan kepada mereka yang berkerja dengan kerajaan. Kalau tidak berkerja gomen (government) sekalipun, kerja swasta masih boleh dipertimbangkan. Kalau bermenantukan orang bisnes atau usahawan ni takut-takut kalau bisnes merundum nanti, anak cucu bakal makan dedaun.
Makcik : Maaf ya nak, makcik nak tanya sikit, anak ni kerja apa? Gomen ke kerja sendiri?
Budak : Kerja sendiri je makcik..
Makcik : Wah! Bagus tu? Syarikat anak ni masuk dalam senarai bursa saham ke?
Budak : Belum lagi, makcik. Bisnes kecil-kecil je. Baru nak cuba berniaga sikit.
Makcik : Ooo baru? Macam ni lah nak, makcik tak boleh buat keputusan lagi, nanti makcik bincang dengan anak makcik dan bapanya. Kalau tak ada masalah nanti Insyaallah kami bagitau. Kalau tak ada apa-apa surat menyurat mahupun email, anggaplah permohonan anak tak berjaya. Jangan risau, "bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor"
Budak : Err..ok...Kalau begitu, saya mintak izin pulang dahulu..
Makcik : Baiklah. Terima kasihlah nak sudi datang ni. Kalau company anak dah masuk bursa saham, bagitaulah makcik ya. Boleh kita bincang-bincang lagi..
Budak : Err..Insyaallah makcik. Terima kasih. Assalamualaikum.
Makcik : Waalaikumussalam.
Maka pulanglah sang budak itu dengan pesimisnya. Harapannya telah hancur berkecai 'bak kaca terhempas ke lantai'. Kasihan dia....
Itulah realiti masyarakat sekarang. Jiwa kita, mentaliti kita, masih jauh berbeza dengan bangsa lain yang menjadikan kerjaya bisnes dan usahawan itu bidang yang merupakan pilihan utama. Jika mereka tidak mampu berbisnes atau atas dasar minat barulah mencari pekerjaan di bidang swasta dan pilihan terakhir berkerja dengan kerajaan.
Mungkin inilah sumbangan 'dasar pecah dan perintah' celupan British suatu ketika dahulu. Jadi, tidak hairanlah bangsa kita masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan.
Kita sering mengeluh bila ditipu, diinjak, tetapi itulah yang harga serta maruah diri yang perlu dibayar bila ekonomi kita dipegang oleh orang lain. Tetapi tak usahlah menyalahkan bangsa lain, kerana 'siapa yang berusaha dia yang akan mendapat hasilnya.' Walaupun bangsa kita masih disuap dengan pelbagai bantuan, subsidi, pinjaman dan sebagainya tapi kita masih tidak mampu menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya.
Kita masih tidak mampu meniru keperibadian Rasulullah S.A.W yang merupakan seorangbusinessman, atas akhlaK dan kejujuran baginda maka baginda dikenali oleh masyarakat disekelilingnya dan isterinya sendiri, Khadijah Bt Khuwailid sehingga baginda dikenali sebagai "al-Amin" yang bermaksud seorang yang jujur dan ini memberikan satu kelebihan kepada dakwah baginda.
Malah Hasan Al-Banna, pendiri Ikhwan Al-Muslimin sendiri memberi galakan untuk berniaga hatta sekecil mana sekalipun. Kerana terkadang ada 'harga' yang perlu dibayar dan ada prinsip yang perlu digadaikan apabila kita menjadi orang bawahan. Dengan berbisnes kita mampu menguruskan masa sendiri, meluangkan masa untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan dan mempunyai lebihan masa bersama keluarga.
Firman Allah S.W.T:
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik" ( 9:24)
Kebiasaan halangan mereka yang ingin memulakan bisnes ini adalah risiko kerugian. Keuntungan dan kerugian itu merupakan lumrah dalam dunia bisnes. Kerugian yang dialami itu perlulah dianalisa agar ia tidak berulang lagi. 'Kalau takut akan risiko usah bicara tentang perjuangan'. "Jika risau badai tsunami akan melanda jangan berpondok di tepi pantai'.
Sebetulnya, seorang manusia yang lahir di dunia ini sebenarnya sudah berhadapan dengan risiko. Malah seorang ibu yang melahirkan kita di dunia ini juga berhadapan dengan risiko kesakitan, kematian dan sebagainya demi untuk kehidupan seorang anak. Kemudian mereka membesarkan kita, mendidik kita, menghantar kita ke sekolah, menikahkan kita dengan berhadapan dengan pelbagai risiko. Kalau sedari mula lagi ibu bapa kita tidak mahu mengambil sebarang risiko, kemungkinan atas alasan itulah kita tidak mungkin berada di dunia ini.
Atas dasar itulah, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah malu dan berasa hina dengan berniaga hatta untungnya cuma RM0.50 cuma atau berniaga di pasar malam mahupun goreng pisang di jalanan. Berbanggalah, kerana dengan berniaga itulah kita mampu berdikari sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapa.
Hasil yang diperolehi atas keringat sendiri itu pastinya suatu kebanggaan dan kepuasan yang tidak mampu digambarkan oleh mata fikiran. Bak kata seorang sahabat, "berniaga ini seharusnya mendekatkan pergantungan kita dengan Allah kerana gaji kita tidak diberikan oleh sesiapa tetapi kita bertawakkal kepada Allah untuk beroleh rezeki atas perniagaan yang kita usahakan.
Tapi...makan gaji senang..Tiap-tiap bulan cucuk sahaja kad ATM...siapa kata senang? Makan gaji merupakan suatu amanah dari majikan...seharusnya kita memberi 'all out' atas kerja yang diberikan kepada kita...inilah yang susah sikit...fenomena meng'ular', buat kerja yang tak berfaedah, masuk lewat, balik awal...ni semua seakan-akan suatu lumrah bagi pekerja makan gaji.
Gaji itu merupakan rezeki. Jadi, berwaspadalah selalu untuk mendapat rezeki yang berkat. Bagi pekerja yang produktif, teruskan sumbangan anda untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Mentaliti kita juga perlu diubah terutamanya graduan, 'bukan hanya mencari kerja tetapi menyediakan kerja'. Selamat berniaga.
"Treat dakwah as business minded."
Semoga diberi kegigihan dan istiqamah seperti Rasulullah S.W.T. Amiin..
Firman Allah S.W.T:
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? "(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar."(61:10-12)
Subscribe to:
Posts (Atom)